Persiapan Peperiksaan

July 22, 2008 at 10:07 am | Posted in Panduan Peperiksaan | Leave a comment

PERSIAPAN PEPERIKSAAN: PANDUAN PERSEDIAAN AWAL, BUKAN ‘STUDY LAST MINUTES’ !

 

 

A. HINDARI SINDROM BELAJAR DI SAAT AKHIR

 

Soalan untuk peperiksaan PMR melibatkan tajuk-tajuk yang dipelajari di tingkatan 1, 2 dan 3, sementara soalan bagi calon SPM meliputi topik-topik yang dipelajari selama dua tahun. Ini bermakna skop soalan peperiksaan sama ada PMR, SPM atau lain-lain peperiksaan tidak terhad kepada pembelajaran beberapa bulan terakhir menjelang peperiksaan sahaja. Namun masalah yang ketara di kalangan pelajar ialah kecenderungan membuat persiapan di saat-saat akhir.

 

Ya, ada pelajar yang membuat persediaan peperiksaan di saat-saat akhir tetapi masih mampu meraih keputusan yang melayakkan mereka melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat universiti. Malah pelajar yang sama mengulangi tabiat belajar di saat-saat akhir dan kini berjaya dari universiti dan memegang jawatan-jawatan tertentu sama ada di sektor awam atau swasta.

 

Namun pelajar di atas jarang disenaraikan di kalangan “top students”. Mereka yang mampu meraih kesemua 12“A” hanya mampu memperolehi 6 atau 7 A sahaja, dan pelajar yang boleh mendapat 5 atau 6 “A” sekadar mendapat 2 atau 3 “A” sahaja. Natijahnya kerana membuat persiapan di saat-saat akhir, maka pelajar berkenaan gagal merealisasikan sepenuhnya potensi diri masing-masing.

 

Pelajar yang mampu meraih semua “A” serta membuka peluang untuk mendapatkan biasiswa serta melanjutkan pelajaran ke destinasi tertentu gagal memperolehinya kerana lambat membuat persiapan peperiksaan. Mereka mungkin layak dianugerahkan biasiswa JPA, MARA, Petronas, TNB, Telekom Malaysia dan sebagainya untuk sambung belajar sama ada dalam atau luar negara, tetapi tidak kesampaian kerana keputusan yang gagal melepasi tahap kecemerlangan tertentu. Rakan mereka mungkin sudah terbang ke Yal University, USA atau Royal College of Surgeon, Ireland atau University of Oxford, UK atau Kobe University, Japan atau University of Western Australia, Perth bukan kerana mereka lebih bijak dan lebih bernasib baik, tetapi kerana bijak menggunakan masa dengan membuat persiapan peperiksaan lebih awal.

 

B. PANDUAN MEMBUAT PERSIAPAN AWAL PEPERIKSAAN

 

(i) Persiapan Peperiksaan Bermula Pada Minggu Pertama Persekolahan

Persiapan peperiksaan bermula pada hari pertama bermulanya pengajaran bagi sesuatu topik. Oleh kerana topik berkenaan termasuk di dalam silibus peperiksaan, maka masalah akan berlaku sekiranya pelajar menangguh untuk mempelajarinya. Penangguhan boleh berlaku dalam tiga aspek. Pertama pelajar berkenaan bermain-main dalam kelas, justeru menangguh memberi tumpuan semasa tajuk pertama itu diperkenalkan oleh guru. Penangguhan kedua berlaku apabila pelajar tersebut tidak membuat ulangkaji apabila pulang dari sekolah. Kerana tidak membuat ulangkaji, maka ia tidak dapat mengenalpasti bahagian mana tajuk berkenaan telah difahami atau belum difahami. Ketiganya, penangguhan berlaku apabila pelajar tidak membuat latihan selepas mempelajari (dan mungkin memahami) tajuk berkenaan. Tanpa latihan, sukar bagi seseorang menguasai sesuatu tajuk. Rumusannya, sekiranya guru mula memperkenalkan sesuatu tajuk pada minggu pertama atau kedua persekolahan tahun baru, maka pada hari itulah persediaan peperiksaan bermula.

 

 

(ii) Manfaatkan Ujian dan Peperiksaan Peringkat Sekolah

Ramai pelajar tidak mengendahkan ujian bulanan atau peperiksaan penggal di peringkat sekolah. Mereka hanya fokus kepada peperiksaan akhir, sama ada PMR, SPM atau STPM. Ini adalah satu kesilapan umum dan kesilapan besar. Apa fungsi ujian bulanan dan peperiksaan penggal ?  Ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah diadakan bertujuan untuk menilai kefahaman pelajar ke atas tajuk-tajuk yang telah dipelajari selama ini..

 

Untuk menerangkan dengan lebih lanjut kita bentangkan satu kes haipotetikal. Ambil contoh dua orang calon SPM yang bernama Siti dan Yati. Siti membuat persiapan awal (sejak Tingkatan 4) bagi setiap ujian bulanan dan peperiksaan penggal sekolah sementara Yati tidak begitu prihatin dengan ujian dan peperiksaan berkenaan. Pertama sekali, Siti lebih rajin dan lebih konsisten belajar sejak awal kerana ujian dan peperiksaan tersebut diadakan sepanjang tahun manakala Yati berkecenderungan membuat persiapan di saat akhir kerana belum terasa bahang dan tekanan peperiksaan SPM sehinggalah barangkali pada pertengahan tahun semasa berada di Tingkatan 5. Dalam hal ini sudah pasti Siti lebih kedepan menghadapi peperiksaan.

 

Keduanya, oleh kerana dia terpaksa menguruskan masa dengan bijak bagi menghadapi ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah sejak awal-awal lagi, maka Siti lebih berhati-hati agar tidak terlalu aktif dalam aktiviti ko-kurikulum kerana takut ia boleh menjejaskan persiapan ujian dan peperiksaan di peringkat sekolah. Yati pula bebas menggunakan masa bukan sahaja untuk aktiviti ko-kurikulum, malah aktiviti sosial lainnya kerana melihat SPM masih jauh di hadapan, justeru tidak terasa kekangan masa.

 

Ketiga dan yang paling penting sekali ialah keupayaan Siti untuk menilai keberkesanan usahanya. Markah yang diperolehi dari ujian bulanan atau peperiksaan penggal memberi maklum balas yang amat penting terhadap prestasi dan kebolehannya. Sekiranya ia telah banyak membuat latihan bagi subjek Matematik Tambahan, namun tidak mendapat markah yang diingini (dalam ujian bulanan atau peperiksaan penggal), ia boleh menyemak keberkesanan aktiviti pembelajaran hariannya. Dia ada masa yang banyak untuk menyemak dengan guru akan kelemahannya dalam matapelajaran berkenaan. Mungkin Siti cuai dalam membaca soalan, leka dalam membuat pengiraan, kurang memahami konsep tertentu, lemah dalam Bahasa Inggeris atau lain-lain sebab. Natijahnya, Siti ada banyak masa untuk memperbaiki kelemahan tersebut.

 

Oleh kerana ia memulakan persiapan lebih awal, maka ia mempunyai banyak masa untuk menangani apa jua kelemahannya dalam mana-mana matapelajaran sekalipun. Malangnya, Yati yang tidak mebuat persiapan awal tidak memiliki peluang yang sama. Dia akan menjadi kelam kabut dan barangkali panik apabila mendapati banyak kelemahan serta jauh ketinggalan di belakang. Ya, Yati mungkin masih boleh lulus, tetapi bukan mendapat “A”. Tidak dengan Siti kerana ia berpeluang mendapat “A” dalam banyak subjek (kalau pun tidak semua).

 

C. RUMUSAN

 

Anda mungkin lemah subjek tertentu. Anda juga mungkin lemah dalam Bahasa Inggeris, namun jika anda memulakan persiapan lebih awal, anda berpeluang untuk menangani apa jua kelemahan bagi apa jua subjek yang didaftarkan untuk peperiksaan PMR atau SPM atau mana-mana peperiksaan. Maklum balas yang diperolehi dari ujian bulanan dan peperiksaan penggal pasti membantu anda dalam usaha memperolehi “A”. Malah keyakinan diri pasti  akan lebih meningkat. Selamat maju jaya.

About these ads

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com. | The Pool Theme.
Entries and comments feeds.

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: