Guru hebat, Gaji berkat …. Sehari Bersama Guru SMA Makarimul Akhlak, Langgar Kedah

February 27, 2009 at 7:31 am | Posted in Foto Seminar, Panduan untuk Guru, Seminar | Leave a comment

Jumaat, 20 Februari 2009 (9 Pagi – 12.45 T/Hari dan 2.30 – 5.00 Petang) Hotel Sentosa, Alor Star

Kira-kira 23 staf Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak (SMAMA) Langgar Kedah mengadakan program SuperTeaching bersama saya di Alor Star. Kesempatan itu saya gunakan untuk membantu guru-guru SMAMA mengajar secara lebih kreatif serta fleksibel bagi memastikan pelajar dapat ikuti pengajaran dengan berkesan. Seperti biasa banyak perkara telah saya bentangkan dengan bantuan banyak klip vidoe menarik bagi mengukuhkan lagi ceramah saya. Bukan sekadar itu, orang yang mengajak orang lain mengajar secara kreatif mestilah dia sendiri terlebih dahulu perlu membuat pembentangan yang kreatif !

Di sini saya bercadang nak mengupas satu perkara saja. Guru yang hebat mendapat gaji yang berkat. Saya minta para peserta membayangkan apa akan berlaku sekiranya anak-anak mereka (kalau belum/tiada ada anak … mungkin adik-adik mereka, anak saudara kesayangan mereka) diajar oleh guru seperti mereka. Bagi guru yang selama ini mengajar dengan baik dan bersunggug-sungguh serta berdedikasi sudah tentulah gembira dengan soalan seperti itu. Namun bagi guru yang suka memberi alasan, kerja lepas tangan, banyak mencuri tulang dan mempamerkan pengajaran yang lesu dan hambar sudah tentulah tidak mahu anak mereka diajar oleh guru serupa mereka. Justeru itu khusus bagi kesemua guru saya selalu menyarankan “jika kita mengajar anak orang dengan baik, nescaya guru lain akan mengajar anak kita dengan baik” Sehubungan dengan itu, “jika kita mengajar anak orang secara lepas tangan, maka kita takut nanti anak kita pula ….. (tolong habiskan ayat ini).  

Saya utarakan persoalan ini di semua seminar SuperTeaching yang saya kendalikan. Saya menekankan perlunya ada keikhlasan mendidik dan mengajar. Perjalanan guru ke sekolah, pekerjaan guru di sekolah, perjalanan pulang balik dari sekolah, masa yang diambil memeriksa kerja rumah pelajar di rumah … semua adalah ibadah sekiranya kerja di buat secara ikhlas. Jika bekerja semata-mata kerana gaji, bukan sahaja habuan berbentuk ibadah tadi tidak wujud, malah stress sepanjang masa kerana umum mengetahui gaji guru tidak banyak sebenarnya dibandingkan dengan kerja-kerja lain yang memiliki kelulusan akademik yang sama. Letih ada terutama jika berhadapan dengan pelajar yang bermasalah serta sekitaran sekolah yang serba kekurangan. Tetapi jika pengajaran dibuat secara ikhlas, ia bukan sahaja satu ibadah, malah banyak keberkatannya.

Cuba buka mata dengan seluasnya dan lihat anak siapa yang banyak mendaftar di SBP, MRSM, SMKA dan kemudiannya di IPTA. Bukankah ramai anak guru ? Itu rezeki namanya khususnya bagi ibu dan bapa yang mengajar dan mendidik anak orang dengan baik. Rezeki datang dalam pelbagai bentuk. Jiran yang baik satu rezeki. Anak yang bersopan, anak yang rajin bersolat, anak yang menghormati ibubapa … juga satu rezeki. Kesihatan yang baik satu rezeki. Ketenangan hati dan fikiran satu rezeki.

Justeru itu Cikgu, biarkan gaji tidak banyak dibanding dengan orang lain, InsyaAllah rezeki kita tidak putus, rezeki kita murah. Bersyukurlah kepada Allah kerana seperti yang saya juga sering utarakan, menjadi guru adalah satu profesyen yang paling mulia kerana ia membina generasi baru, ia membina tamaddun. Ia membina pemimpin masa depan.

Gambar-gambar di bawah: Pemangku Pengetua SMAMU, Ustaz Ahmad Shirozi bin Ahmad menyampaikan cenderamata kepada penceramah serta gambar para guru yang menghadiri seminar ini.

024
036

Advertisements

Bijak Belajar di SMK Pantai, Labuan

February 27, 2009 at 2:53 am | Posted in Foto Seminar, Panduan Peperiksaan, Seminar | 2 Comments

Khamis 19 Februari 2009, Dewan Perbandaran Labuan

021      04

031        05

Malaysia … Apakah Kita Negara Darul Tarfih (Darul Hiburan) ?

February 25, 2009 at 8:50 am | Posted in Isu-isu terkini, Lain-lain, Masalah negara, Untuk Renungan | 7 Comments

25 Februari 2009

lg-starz-final   faizal

mawi-ekin

Saya peminat gusti. Hari Ahad, malam Isnin lalu saya berehat sejenak di hadapan TV menonton “WWW Experiences” di saluran Astro 104. Dicelah-celah iklan, saya bermain-main dengan remote control dan terserempak dengan rancangan bintang LG Starz peringkat akhir. Saya jarang menonton dan tidak berminat program hiburan seperti itu. Saya sekeluarga langsung tidak pernah melayan program Akademi Fantasia sejak AF1. Malam itu saya bertekad mahu berselang seli di antara program gusti dan hiburan sebab bercadang mahu menulis sedikit mengenai pola hiburan yang keterlaluan di negara kita.

Sedikit latarbelakang sebagai perbandingan. Saya berkesempatan melawat beberapa buah negara luar. Tiap kali saya ada di sana saya sengaja meneliti program TV mereka untuk membuat perbandingan di antara TV kita dengan TV negara luar khususnya di negara barat terutama program berbentuk hiburan. Andaian saya ialah kalau di Malaysia sakan sekali pelbagai program hiburan, maka sudah tentulah lebih banyak lagi di sana. Andaian itu ternyata meleset sekali

Saya meneliti program TV di Washington DC dan Orlando (Florida) di USA; pekan St. George dan kota Vancouver di Kanada, bandaraya Perth di Australia, dan kotaraya Rome serta kawasan Sorrento di Itali. Selain daripada itu ialah di UK di mana saya berkesempatan tinggal untuk belajar di negara itu untuk satu jangka masa yang panjang dan selama tiga kali. Saya juga berkesempatan beberapa kali meneliti program TV Singapura sama ada sewaktu berada di JB mahupun di Singapura sendiri.

Ternyata dalam konteks komponen hiburan di TV, kita menjadi juara. Mungkin Malaysia kalah dengan Indonesia berdasarkan pengalaman singkat saya di Jakarta. Suatu malam semasa meneliti program TV di Jakarta semasa malam minggu, hampir kesemua menayangkan dangdut. Hebat lagi Indonesia. Dalam hal ini Singapura jauh di hadapan kita kerana terdapat banyak program TV sana yang berunsur educational. Yang banyak hiburan pula ialah saluran “Suria” … saluran Melayu Singapura !

Apa masalahnya dengan itu ? Kita menjaja merata tempat mahu meningkat warga kita dengan “mentaliti kelas pertama”. Mentaliti kelas pertama bukan “hiburan-based” ! Mentaliti kelas pertama “ilmu-based” ! Dulu sekali ada “talk-radio” yang pada saya cukup menarik, tetapi tidak bertahan lama. Radio kita hampir 90% hiburan-based. Rangkaian Nasional Radio Malaysia yang sepatutnya memuatkan banyak perbincangan untuk kepentingan nasional kini  pula  mengajak kita bernostalgia dengan Pop Yeh-Yeh !

Konsert cukup kerap diadakan di negara kita. Kelulusan untuk program konsert saya percaya mudah diperolehi dibandingkan dengan permohonan mengadakan syarahan agama, lebih-lebih lagi kalau penceramah tokoh yang “belum jelas pendirian politiknya”. Hampir setiap malam minggu ada saja konsert yang disiaranlangsungkan ke TV, justeru mendapat liputan seluruh negara. Jadi tiap malam minggu konsert boleh diikuti di rumah. Kalau kebetulan malam perayaan pilih saja konsert saluran mana yang kita mahu ikuti. Konsert tajaan pelbagai syarikat khususnya syarikat telekomunikasi menjelajah hingga ke desa pedalaman.

Kemuncak kesedihan dan juga kemarahan saya ialah pada malam sambutan tahun baru 2009 baru-baru ini. Ketika “our brothers and sisters” di Gaza di sembelih dengan peluru berpandu dan bom Yahudi, kita bergembira di Dataran Merdeka dan lain-lain tempat seluruh negara. Mengapa kita langsung tidak sensitifnya ? Mengapa, mengapa, mengapa !!!!  

Kemudian program “anugerah” yang sering ditonjolkan. Tak cukup Anugerah TV3, Anugerah Berita Harian, Anugerah Seri Angkasa, Anugerah AIM dan pelbagai anugerah lagi. Orang itu juga menjadi hos. Orang itu juga naik pentas. Orang itu juga mengambil tempat duduk hadapan. Yang bertukar fesyen mereka sahaja.

Itu tidak masuk lagi pelbagai program realiti yang berbentuk hiburan. Anak kecil dan nenek-nenek pun pandai mengundi orang yang mereka mahu menang. Hebat betul rakyat kita. Bijak sungguh guna ICT. Itu “minda kelas pertama ke”? 

Negara berpenduduk “minda kelas pertama” tidak berminat untuk disajikan dengan kenduri kahwin besar-besaran penyanyi. Itu tindakan dan tontonan “minda kelas kelima” !

Kemudian di satu pihak lagi kita marahkan remaja kita, anak muda kita, pelajar kita (termasuk saya yang sering marahkan peserta seminar saya yang terlalu asyik dengan hiburan) kerana mengabaikan pelajaran. Malah abang dan kakk kita di IPT pun sudah tercandu dengan hiburan. Malam konvokesyen yang meraikan graduan dijemputnya penyanyi yang hanya lulusan SPM (maaf, bukan penghinaan, sekadar perbandingan … banyak lulusan SPM jadi usahawan berjaya).

Apakah tidak dapat kita lihat kaitan di antara masalah remaja, masalah Mat Rempit dan Minah Rempit, masalah sosial remaja lelaki dan perempuan, masalah dadah yang tidak berkesudahan dan seribu satu masalah yang sering diketengahkan di media hari ini dengan situasi masayarakat yang membiarkan hiburan berleluasa ? Mari kita renung, mari kita fikir, mari kita muhasabh diri dengan harapan pihak berkuasa membuka mata dan memgambil tindakan yang lebih bijaksana menangani masalah ini.

Seminar Anjuran Yayasan Sungai Siput, Perak

February 25, 2009 at 4:44 am | Posted in Foto Seminar, Seminar | Leave a comment

17 Februari 2009, Sungai Siput Perak

Lebih 500 pelajar, majoritinya yang akan menduduki PMR tahun 2009 telah menghadiri seminar Bijak Belajar bersama saya di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar, Sungai Siput. Peserta terdiri dari pelajar terpilih sekolah-sekolah di sekitar Sungai Siput. Ia dianjurkan oleh Yayasan Sungai Siput, satu-satunya yayasan peringkat daerah yang begitu aktif merencanakan pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat setempat. Ia diketuai oleh Encik Zakaria Ismail.

01

02

03

PPSMI: Berbalik Ke Asas

February 18, 2009 at 7:57 am | Posted in Isu-isu terkini, Lain-lain, Panduan untuk Ibubapa | 3 Comments

Rencana ini dihantar (e-mail) ke Akhbar Utusan/Mingguan Malaysia Jumaat lalu (13 Februari 2009). Setakat hari ini (Rabu, 18 Februari 09) belum keluar lagi. Sama ada ia akan keluar atau tidak dalam akhbar berkenaan, mari kita teliti isi kandungannya.

PPSMI – Berbalik Kepada Asas

Saya ingin turut sama menyumbang buah fikiran dalam soal Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Untuk memastikan kita lebih faham akan isu ini yang di kebelakangan ini disuarakan oleh banyak cendikawan negara, elok kita berbalik ke soal asas pembelajaran dan pengajaran itu sendiri. 

Pelajar ke sekolah. Mereka belajar dalam kelas (atau makmal sains atau bengkel kerja tangan dsb.). Pendek kata pelajar belajar, guru mengajar. Itu asas utama pembelajaran. 

Hasil dari pengajaran guru, secara umumnya akan terdapat empat kelompok pelajar. 

Pertama, ada pelajar yang faham sepenuhnya pengajaran guru. Mereka inilah yang lazimnya muncul sebagai pelajar cemerlang dan memperolehi keputusan yang terbaik dalam setiap ujian bulanan, semester atau peperiksaan utama seperti UPSR, SMRA, PMR, SMA, SPM, STPM atau pun lain-lain peperiksaan sehingga di peringkat institusi pengajian tinggi. Mereka cemerlang sebab mereka faham sepenuhnya hampir kesemua subjek yang diajar oleh guru. Lantaran itulah pelajar cemerlang seperti Azali Azlan (SPM 2007, 21A) tidak memerlukan tuisyen kecuali kelas tambahan yang diuruskan oleh sekolah. Nadiah Amira (SPM 2006, 18A) dan Nor Amalina Che Bakri (SPM 2004, 17A1) hanya mengambil tuisyen bagi subjek Prinsip Akaun sahaja. Oleh kerana mereka faham sepenuhnya ajaran guru, maka mereka dapat menguasai sesuatu subjek dengan lebih baik. 

Kedua pula ialah kumpulan pelajar yang hanya memahami sebahagian daripada apa yang di ajar oleh guru. Mungkin dari sepuluh perkara yang dibentangkan mereka hanya boleh memahami enam atau tujuh perkara sahaja. Inilah kelompok pelajar sederhana. Sesetengah subjek difahami sepenuhnya manakala subjek lain pula difahami sebahagian sahaja. Atas sebab itulah keputusan peperiksaan mereka meliputi gred A, B dan C sebagai contoh. Mereka ini kita golongkan sebagai pelajar sederhana. 

Kelompok ketiga terdiri dari kalangan pelajar yang hanya dapat memahami sebahagian kecil sahaja dari apa yang diajarkan oleh guru kelas mereka. Inilah kelompok pelajar lemah. Rata-rata gred yang diperolehi ialah C dan D sahaja. Jarang sekali mereka mendapat B atau A. Mungkin bagi sesetengah subjek lain mereka gagal terus. 

Kemudian kita ada kelompok terbawah, yakni pelajar gagal kerana tidak memahami apa yang diajar oleh guru mereka. Mereka inilah yang lazimnya berada di kelas bekalang. Kerana tidak memahami apa yang diajar oleh guru, maka mereka ke sekolah “sekadar meramaikan majlis”. 

Apakah faktor yang menyebab mereka faham atau tidak faham pengajaran guru ? Banyak !. Di pihak pelajar, mereka tidak atau kurang faham kerana tidak memberi tumpuan dalam kelas, bermain-main semasa guru mengajar, tidak ada asas yang kukuh mempepalajari sesuatu tajuk yang diperkenalkan dan yang seumpamanya. Di sebelah pihak guru pula ia mungkin disebabkan oleh pengajaran yang kurang berkesan.

Namun ada satu lagi faktor kritikal yang menentukan kefahaman atau ketidakfahaman pelajar terhadap pengajaran guru. 

Ada kalanya pelajar telah memberi tumpuan 100% dalam kelas. Mereka tidak bermain-main semasa guru mengajar. Namun kerana bahasa yang digunakan oleh guru tidak difahami oleh pelajar, maka masih sukar bagi mereka untuk memahami apa yang diajar. Inilah di antara perkara utama yang menimbulkan masalah dalam PPSMI. 

Ia menjadi lebih ketara lagi sekiranya guru yang mengajar subjek berkenaan kurang dapat menguasai Bahasa Inggeris itu sendiri. Atau mungkin usaha guru untuk mengajar menggunakan dwi-bahasa kurang menjadi. 

Pada saya ibu kunci kejayaan akademik ialah FAHAM. Jika seseorang pelajar itu faham apa yang diajar oleh guru, maka peluangnya untuk skor sesuatu subjek amatlah baik. Jika tidak, maka peluangnya amat tipis sekali. 

Atas sebab itulah kita lihat sesetengah pelajar nampak seolah-olah tidak belajar bersungguh-sungguh berbanding dengan rakan sekelasnya serta menyertai pelbagai aktiviti ko-kurikulum sekolah dan memegang beberapa jawatan penting dalam persatuan dan kelab, namun menyerlah sebagai pelajar terbilang sekolah pada hari penganugerahan pelajar cemerlang. Rakannya pula berusaha dua kali ganda lebih kuat darinya, menghadiri kelas tuisyen dan melibatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum sekadar memenuhi syarat sekolah sahaja, namun tidak menampakkan kehebatan dalam pelajaran. 

Di mana silapnya ? Tidak ada silap di mana-mana melainkan pelajar cemerlang tadi cemerlang sebab dia memahami sepenuhnya ajaran guru, manakala rakannya tidak begitu. Sementara rakannya perlu mengambil sedikit masa untuk membuat ulangkaji dan kerja rumah, dia terpaksa bertungkus lumus berjam-jam lamanya untuk mendapat hasil yang sama. Jawapannya, seorang faham, dan seorang lagi kurang atau tidak faham. Justeru itu, ibu kunci kejayaan ialah FAHAM apa yang diajar oleh guru. 

Biar saya buat satu analogi untuk memantapkan lagi hujjah ini. Katakan subjek Matematik atau Sains diajar oleh seorang guru dari Timur Tengah dalam Bahasa Arab, atau oleh guru dari Manila dalam Bahasa Tagolog atau oleh seorang guru dari Pirenza (Florence) dalam Bahasa Itali. 

Kita sendiri yang masih meraba-raba dengan bahasa Arab atau Tagolog atau Itali mengikuti pengajaran guru berkenaan. Sehebat manapun guru tersebut, sudah pasti sukar sekali bagi kita memahami pengajaran guru berkenaan. 

Ia mungkin satu analogi yang agak keterlaluan, namun itulah unsur-unsur permasalahan yang dihadapi oleh pelajar yang sama ada tidak tahu langsung Bahasa Inggeris atau lemah bahasa berkenaan. 

Dalam keadaan serupa itulah, program tuisyen seperti yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran (skim baucer tuisyen) atau FELDA (skim tuisyen Felda) atau lain-lain agensi kerajaan dan bukan-kerajaan kurang keberkesanannya kerana masalah asas, yakni tidak faham atau kurang faham ajaran guru kerana penggunaan bahasa tertentu wujud. 

Saya masih teringat perbualan saya dengan seorang guru dari Kota Belud, Sabah ketika dia mengajak pelajar membuat karangan dalam Bahasa Inggeris. Dia minta pelajar memberitahu apakah perkataan “pengenalan” dalam Bahasa Inggeris. Setiap karangan mesti dimulakan dengan “pengenalan”. Dia amat terkejut apabila seorang pelajar berkata (bukan tujuan berjenaka) “I.C.” Bagi pelajar berkenaan baeangkali kerana “Kad Pengenalan” itu lazimnya disebaut sebagai “I.C”, maka itulah agaknya logik yang dipakai. 

Itu sekadar satu dari banyak contoh serta ratusan “cerita jenaka” di mana guru-guru sekolah, khususnya di kawasan luar bandar hadapi dalam mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. 

Ini bermakna pelajar yang lemah dalam Bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi diajar oleh guru yang belum sepenuhnya bersedia mengajar dalam Bahasa Inggeris subjek Sains dan Matematik menghadapi dua aras permasalahan. 

Pertama masalah mereka memahami pengajaran yang dibuat dalam bahasa yang mereka tidak selesa, dan keduanya memahami isi kandungan subjek Sains dan Matematik itu sendiri. 

Sama ada berasas atau tidak, sebelum ini kita sering dengar keluhan umum tentang kelemahan pelajar Bumiputera dalam kedua-dua subjek berkenaan. Dengan memeprkenalkan PPSMI, kita bukan sahaja gagal menangani masalah ini, malah memburukkan lagi keadaan. 

Saya amat bersetuju sekali kita meneliti semula dengan serius PPSMI kerana salah satu sebab utama diperkenalkan PPSMI ialah untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negara kita ini. Itu satu matlamat murni yang tidak perlu dipertikaikan, cuma apakah pendekatannya menerusi PPSMI. Mengapa tidak memperkasakan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri seperti yang sering diwar-warkan oleh ramai orang. 

Malah andaian penggunaan Bahasa Inggeris untuk memajukan negara juga ada hujah balasnya. Banyak negara di dunia yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama berjaya. Lihat Thailand sendiri kerana kemajuan sains dan teknologinya juga hebat sebenarnya. Negara Jepun, Jerman dan sekarang kemunculan gergasi ekonomi baru China. Pengalaman saya ke Itali tahun lalu cukup relevan. Rata-rata sama ada di TV, papan tanda jalan serta perbualan umum hampir 95% dalam bahasa Itali. Namun ia maju. Banyak jenama Itali menjadi buruan dunia. Tiada Bahasa Inggeris.

 

Cuma saya harap kita jangan ambil terlalu lama untuk meneliti semula dasar PPSMI. Sememangnya banyak pihak berhujjah bahawa kita jangan terburu-buru mengubah sesuatu dasar. Itu boleh kita fahami. Cuma yang menjadi persoalan kenapa dasar yang sama semasa diperkenalkan dulu tidak diteliti dengan mendalam. Tiba-tiba ia diperkenalkan tanpa apa-apa kajian dan tanpa apa-apa persediaan !

A Good Teacher is a Good Actor-Actress

February 16, 2009 at 11:37 am | Posted in Foto Seminar, Panduan untuk Guru, Seminar | 2 Comments

14 Februari 2009 – Bersama 100 Guru SMKA Baling serta guru terpilih SK Pahit, Gerik Perak

Seminar dibiayai oleh Sime Darby menggunakan dana CSR (Corporate Social Responsibility). Di antara banyak perkara yang dibincangkan ialah meminta peserta membayangkan sebuah kelas yang diajar oleh guru-guru berikut. Bahasa Inggeris diajar Adibah Nor, Pengajian Agama Islam oleh M.Rajoli, Prinsip Akaun oleh Phua Chu Kang, Biologi oleh Kartina Aziz, Sejarah oleh Jalil Hamid dan beberapa orang guru lagi.

Ia sekadar mengacah minda peserta untuk memikirkan situasi di mana kelas yang menarik dan penuh dengan aksi yang memberansangkan yang pasti membuat pelajar memberi 150% tumpuan sepanjang masa. Dalam kelas begini tiada pelajar tidur, tiada pelajar sibuk nak ke tandas, tiada pelajar mengganggu kawan. Mereka akan berusaha menghadirkan diri ke kelas walaupun sibuk dengan aktiviti ko-k. Sekiranya mereka kurang sihat, mereka akan masih ke sekolah. 

Itulah di antara perkara yang dibentangkan kepada peserta Seminar SuperTeaching – sama ada guru sekolah rendah, menengah mahupun universiti. Seminar yang semakin mendapat perhatian dan permintaan ramai ini dikendalikan oleh saya sepenuhnya. Setiap peserta dibekalkan buku khas TemanGuru bagi membantu mereka mengikuti seminar dengan lebih berkesan. Kira-kira 20 klip videos diketengahkan bagi mengukuhkan lagi pembentangan seminar ini. Ia meliputi klip dari filem Inggeris, China, Bollywood dan … maaf tidak ada klip dari filem Melayu kerana filem kita sendiri terlalu fokus soal cinta. Itu persoalan yang akan kita bicara dilain kali.

Berikut ialah gambar sebahagian dari peserta seminar.

04-smka-baling

05-smka-baling

01-smka-baling

02-smka-baling

03-sk-pahit

Bersama Pelajar IKIP International College, Kuantan

February 16, 2009 at 9:56 am | Posted in 1 | Leave a comment

Kamis, 12 Februari 2009

Dari jam 8.30 pagi sehingga jam 4.30 petang, saya telah berseminar bersama kira-kira 200 pelajar IKIP International College di salah sebuah kampus IKIP di Kuantan, yakni kampus pertanian IKIP. Pelajar yang terdiri dari pelajar pelbagai semester telah bersama membicara prinsip dan kaedah berkesan untuk mengangkat martabat diri menjadi pelajar cemerlang. 

Dear students, best of luck. Go for the best.

03120209-ikip  

04120219-ikip1

02120209-ikip

05120209-ikip2

01120209-ikip

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.