SELAMAT HARI GURU: Cikgu … Gaji Anda Mungkin Tidak Lebat, Namun Rezeki Banyak …

May 14, 2011 at 4:40 pm | Posted in Uncategorized | Leave a comment

Hampir dua tahun lalu saya dan isteri mengembara ke seluruh negara untuk menemuramah serta berbual-bual dengan ibu bapa cemerlang Malaysia. Kami berkesempatan melawat sembilan buah rumah di empat buah negeri – tiga di Johor dan Kedah, dua di Kelantan dan satu di Pahang.

Apakah definisi “ibu bapa cemerlang” ?. Secara simplistik kami memilih ibu bapa yang mana anak mereka menyerlah dalam peperiksaan khususnya SPM. Definisi ini memang terhad. Kami telah menghubungi dan memilih sembilan keluarga, tujuh dari keluarga berkenaan bergambar di atas. Dua keluarga yang tidak disenaraikan di atas ialah keluarga pelajar “miskin-terbilang” dari Kota Bharu, iaitu ibu bapa Nik Nur Madihah (SPM 2008: 20A) dan ibu bapa G-Muneswaran dari Sungai Petani, Kedah  (SPM 2009: 15A1).

Gambar-gambar di atas adalah seperti berikut: (1) Puan Sabariah Hassan (Kota Tinggi, Johor), ibu Nur Amalina Che Bakri (SPM – 17A1) bersama saya dan isteri (Puan Khadijah Zakaria). (2) En. Saiful dan isteri Puan Zainora  (Kulim, Kedah) ibu bapa kepada pelajar kembar Mohd Aiman dan Mohd Iman (SPM – kedua-dua pelajar 10A1, 1A2, 1B3) juga bersama saya dan isteri. (3) En Jamil dan Puan Zakiah (Rengit, Batu Pahat) ibu bapa kepada Nadiah Amirah (SPM 18A) dan saya dan isteri (4) En Hasbullah dan Puan Kamariah (Gelang Patah, Johor), ibu bapa kepada Norlaila Najwa (SPM 16A1) (5) Puan Yong Choon Ting (Mentakap, Pahang) ibu kepada Quek Khai Ren (SPM 16A1) dan Pn Khadijah (6) En Azlan dan Puan Rozita dari Tikam Batu, Kedah, ibu bapa pelajar terbaik negara setakat ini, Azali Azlan (SPM 21A) bersama saya dan isteri dan (7) Encik Mukhtar dan Hajjah Aishah, ibu bapa kepada Siti Fatimah (18A).

Yang paling menariknya, dari sepuluh pelajar cemerlang (dari sembilan keluarga), hanya dua daripadanya ibu atau bapa mereka bukan guru – iaitu ibu bapa Nik Nur Madihah dan G.Muneswaran. Atas sebab itu, gambar mereka tidak dimasukkan di atas untuk posting ini.

Ibu Nur Amalina (1), ibu dan bapa Nadia Amira (3), ibu bapa Norlaila Najwa (4) serta ibu dan bapa Azali Azlan (6) adalah guru. Bagi yang lain ibu kepada pelajar kembar Aiman-Iman (2), ibu kepada Quek Khai Ren (5) dan ibu kepada Siti Fatimah (7) adalah guru. MasyaALlah, hebatnya profesion guru. Mereka menguasai “carta teratas ibu bapa pelajar cemerlang Malaysia” !

Inilah di antara tekanan saya kepada para guru ketika menyampaikan ceramah dalam Seminar SuperTeaching. Saya menekankan bahawa dari segi gaji sememanngnya tidak lumayan. Adakalanya pelajar yang Cikgu mengajar sama ada di sekolah rendah atau menengah akan memintas gaji Cikgu hanya beberapa tahun selepas menerima ijazah dari universiti. Malah ada yang hanya memperolehi Diploma juga turut memotong gaji Cikgu mereka hanya beberapa tahun setelah keluar kolej khususnya yang melibatkan diri dalam bisnes atau sektor swasta.

Melihat anak didik mereka berkereta lebih besar,  rumah lebih besar, gaji lebih besar … malah pangkat lebih besar daripada mereka bukanlah perkara luar biasa. Kesimpulannya gaji guru tidaklah sebesar mana dibandingkan profesion lain, khususnya yang terlibat dalam perniagaan sendiri dan pekerjaan di sektor bukan-kerajaan.

Namun REZEKI si guru mungkin lain pula walaupun gaji mereka bukan yang tersenarai di kalangan profesion mewah. Apakah yang dimaksudkan dengan rezeki ? Kamus Dewan (Edisi Keempat, 2005) memberi beberapa definisi berikut berkaitan dengan “rezeki”. Satu dari definisinya ialah “segala sesuatu yang dikurniakan oleh Allah untuk keperluan rohani dan jasmani seperti makanan, ilmu dsb”.

Ruang lingkup “pendapatan” hanya terhad kepada ukuran kewangan, iaitu jumlah gaji yang diterima. Dalam konteks kemudahan yang diberikan oleh kerajaan kepada guru ia juga meliputi kemudahan pinjaman wang untuk belian rumah, kenderaan dsb. serta lain-lain faedah material. Itu saja. Justeru, diukur dari segi itu, “pendapatan” guru sememangnya tidak lumayan.

Ini tidak bermakna rezeki mereka turut terhad. Rezeki turut meliputi kesihatan dan keluarga (anak-anak). Mempunyai jiran yang baik dan membantu juga satu rezeki. Adanya adik beradik dan kawan rakan yang bagus, anak yang berjaya dalam pelajaran, justeru mendapat biasiswa untuk pengajian sehingga ke peringkat tertinggi juga satu rezeki. Malah ketenangan fikiran juga satu rezeki besar.

Ini jelas sekali dengan tujuh keluarga di atas. Anak-anak mereka hebat, justeru mendapat bantuan belaka (biasiswa yang mewah termasuk biasiswa Kijang Emas Bank Negara) untuk meneruskan pelajaran. Ia bukan semata-mata kerana anak mereka rajin belajar, malah pada saya a merupakan ganjaran kepada usaha mereka yang memberi perkhidmatan terbaik mengajar anak-anak orang — 30 ke 40 pelajar dalam kelas. Itu satu rezeki yang jelas sekali. Bayangkan ibu bapa lain yang memperolehi gaji dua kali ganda dari gaji ibu bapa di atas tetapi terpaksa membiayai sendiri kalau si anak mahu sambung belajar ke institut pengajian tingg, lebih-lebih lagi ke luar negara !

Malah dari perbualan kami dengan ibu bapa pelajar-pelajar hebat itu mungkin kata-kata ibu Norlaila Najwa, Cikgu Kamariah (guru SMK Gelang Patah) dapat merumuskan persoalan yang mahu ditekankan di sini. Katanya “anak murid, anak kita” dan “macam mana anak kita berjaya, macam itulah kita mahu anak murid kita berjaya”. Kata-kata tersebut memberi gambaran jelas kepada komitmen mereka terhadap profesion mereka dan ke atas anak didik mereka.

Dalam konteks inilah saya memberi “motivasi” dan juga “amaran” kepada peserta Seminar SuperTeaching yang dihadiri oleh guru. Saya menenkankan kepada guru yang “tidak atau kurang bersungguh-sungguh mengajar” serta yang “tidak atau kurang prihatin kepada anak didik mereka” … agar berjaga-jaga kerana takut nanti anak-anak mereka akan diajar oleh guru yang macam mereka atau mungkin ebih teruk lagi !”. Nah … pada ketika itu, apa perasaan anda. ! Kepada guru-guru yang belum ada anak dan yang belum berumah tangga, mereka juga ada adik ! Kalau anak-anak semuanya sudah bekerja, mereka barangkali ada cucu ! Ia satu peringatan yang selalunya mendapat perhatian serius peserta semina saya.

Kepada guru yang betul-betul berkhidmat di sekolah; yang bersungguh-sungguh mengajar; yang amat prihatin akan perkembangan positif anak didik mereka, saya menekankan “USAH BIMBANG CIKGU. TUHAN MAHA ADIL. INSYAALLAH ANAK-ANAK CIKGU AKAN MENDAPAT GURU YANG MALAH LEBIH HEBAT LAGI DARIPADA CIKGU SENDIRI. KALAU TIDAK HARI INI ESOK, TIDAK TAHUN INI TAHUN HADAPAN, KALAU TIDAK DI SEKOLAH RENDAH, DI SEKOLAH MENENGAH”. Jadi saranan saya kepada mereka, SYABAS danTERUS PERHEBATKAN KHIDMAT ANDA.

Malah peringatan di atas bukan hanya kepada guru. Ia terbuka kepada sesiapa saja. Dalam apa juga profesion yang kita ceburi, jika kita berkerja bersungguh-sungguh dan ikhlas untuk membantu pelanggan kita, nescaya kita akan mendapat ganjaran balas dalam pelbagai bentuk. InsyaAllah rezeki kita lebih murah nanti.

KEPADA GURU-GURU MALAYSIA PUN, ITULAH PESANAN SAYA. SYABAR DAN SELAMAT HARI GURU

Dr. Shukri Abdullah, Seri Manggis, Yan Kedah, 12.21 Malam 15 Mei 2011.

Ini

Leave a Comment »

RSS feed for comments on this post. TrackBack URI

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.

%d bloggers like this: