Kilauan Emas …. Confirm Malaysia Darul Tarfih !.

June 11, 2011 at 3:01 am | Posted in Uncategorized | Leave a comment

Dalam satu posting di blog ini pada 25 Februari 2009 saya poskan satu tulisan berjudul  “Malaysia … Apakah Kita Negara Darul Tarfih (Darul Hiburan) ? Saya mempersoalkan kebanjiran program realiti berbentuk hiburan nyanyian / tarian seperti GangStarz, Akademi Fantasia, Mentor,  One in A Million, Bintang Kecil, Malaysian Idol, Ikon Malaysia, Mari Menari, Sehati Berdansa. 

Kini sedang giat diperkenalkan satu lagi program baru – KILAUAN EMAS untuk mereka berumur 45 tahun ke atas. Mak Ayah dan Nenek dan Tok Wan akan dijemput untuk mengasah bakat bagi mencari penyanyi berumur lanjut yang terbaik ! Tak ada idea lain ke !. Memang hebat negara kita, cukup berinovasi, cukup kreatif, cukup imaginatif sehingga orang yang sepatutnya mengajak dan mengajar anak dan cucu agar jauh dari hiburan dan fokus kepada pelajaran, tetapi kini dengan program KILAUAN EMAS dia sendiri yang “melampau-lampau dalam hiburan”

Walau apa pun hujah diberikan, motif utama setiap program di atas ialah untuk menaikkan rating stesyen TV dan program masing-masing di mana secara langsung atau tidak langsung membawa pulangan semakin banyak dari segi iklan komersial dan tajaan. Wang yang menjadi asas utama tanpa memikirkan kesan ke atas remaja dan orang dewasa yang kini semakin terpaut dengan hiburan. Nenek dan Tok Wan sudah pandai menangis apabila seseorang peserta realiti show terkeluar dari pertandingan. Nenek dan Tok Wan lupa menangis apabila cucu mereka tidak pandai solat, cucu tak tau baca Fatihan, cucu tidak boleh hafal Qulhuwallah, cucu mereka tak tahu apa itu Ayat Qursi, cucu mereka tak nak belajar, cucu mereka berfoya-foya. Kini Nenek dan Tok Wan pula akan menangis apabila peserta-peserta terkeluar dari Kilauan Emas !

Saya amat bimbang, Malaysia khususnya MELAYU MUSLIM terlalu banyak disajikan dengan hiburan hingga kini timbul pelbagai masalah sosial. Bila konsert terlalu banyak, tiba-tiba statistik bayi kena buang meningkat, seks luar nikah dan sebagaiya. Masalah Mat Rempit (tak ada pula Chong Rempit atau Maniam Rempit !)  pergaulan sosial terlalu bebas, pelajar ponteng sekolah, malas belajar, disiplin remaja … semuanya kerana remaja kita sudah banyak hanyut !

Jangan salahkan mereka. Siapakah yang menganjurkan, menguruskan, membiayai dsb program-program realiti dan konsert-konsert yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan ? Remaja ke ? Tidak ! Orang dewasa, iaitu Mak Bapak remaja tadi !

Bila pelajar-pelajar turut terbuai dan leka, kita marah mereka, kita berleter mereka dan kita pun buatlah pelbagai program koreksi untuk “membawa mereka balik ke bangkal jalan”. Malang sekali orang politik, termasuk pemimpin negara tidak pernah timbulkan isu ini seolah masalah ini begitu remeh sehingga tak perlu diwacanakan ! Mereka seolah-olah tidak sedar akan fenomena ini akan melumpuh dan meruntuh tamadun dan budaya masayarakat itru sendiri.  Sampai bila nak biaran remaja kita begini. Samai bila ! Sampai bila !

Program realiti yang semakin popular perlu diubah arahhaluan. Wujudnya Imam Muda adalah satu alternatif yang cukup baik.  Memang masyarakat kita menanti program seperti itu. Atas sebab itulah rating program Imam Muda amat tinggi.  Kita perlu ada program realiti seperti The Biggest Loser (sudah ada tetapi kurang dapat perhatian masyarakat Melayu — kena ada the Biggest Loser Melayu version) , Chef Kanak-kanak dan yang seumpamannay. Malah banyak lagi.

Tetapi yang terfikir KILAUAN EMAS. Patut ada program mengajak orang-orang tua-tua beribadah, bukan menyanyi dan menari ! Jika trend ini berterusan, betullah kita ni Malaysia Darul Tarfih (Darul Hiburan) !

Filem Hantu, Cinta dan Komedi …. Masyarakat Melayu Masih Utamakan Hiburan !.

June 1, 2011 at 3:58 pm | Posted in Uncategorized | 1 Comment

Dua hari yang lepas saya telah membeli sekeping cakera DVD bagi filem “Aku Tak Bodoh” (ATB) adaptasi dari filem asal “I Not Stupid 2” (INS2) arahan Jack Neo dari Singapura.  Sebenarnya saya telah mencari DVD filem ini sejak dua bulan yang lalu, malang sekali penjual DVD yang lazimnya biasa dengan filem-filem tempatan mahu pun luar negara langsung tidak pernah dengar akan kewujudan filem ATB. Ia menunjukkan filem ini tidak mendapat tempat dan perhatian masyarakat. Hairan bin ajaib !

Saya telah menonton filem INS2 sejak dua tahun lalu, bukan sekali tetapi beberapa kali. Hebat Jack Neo sebab filemnya hebat, plotnya hebat, mesejnya hebat. Apabila saya menonton filem berkenaan edisi Melayu keluaran Kuala Lumpur (ATB) saya boleh rasa serta nampak beberapa kekurangan berbanding dengan filem asal. Ada beberapa babak yang dalam filem INS2 cukup menyentuh perasaan, namun kurang mengancam dalam ATB.

Bukan di sini untuk mengupas dan membincang perkara berkenaan. Namun pada umumnya mesej filem adaptasi berkenaan sampai (mungkin kerana saya telah menonton filem asal Jack Neo, maka saya terpengaruh untuk membuat perbandingan). Walaupun beberapa kekurangan, saya tetap mengucapkan tanhniah dan syabas kepada sutradara dan pelakon-pelakon ATB. ATB tetap menyentuh perasaan mungkin lebih-lebih lagi kepada mereka yang menonton filem ini buat pertama kali.

Namun isu di sini bukan mahu membuat penilaian mengenai filem berkenaan tetap[i mahu membuat penilaian akan sambutan masyarakat Melayu ke atas filem tersebut.

Filem ATK mengenengahkan kisah konflik famili di mana (a) ibu bapa terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga tiada masa untuk si anak (b) ketidakpandaian ibu bapa memenangi hati anak, justeru wujud jurang komunikasi antara mereka (c) kecenderungan ibu bapa memperkecilkan potensi dan kebolehan anak mereka serta (d) wujudnya guru yang kurang bijak yang mempu menawan hati anak didik mereka. Semua ini menjadikan filem berkenaan seronok ditonton serta penuh dengan pengajaran bermakna sama ada dilihat dari kacamata ibu bapa, guru, mahupun si anak/ murid itu sendiri. Kadang kita berfikir dan merenung mesej tajam yang ingin disampaikan, ada kalanya kita ketawa akan beberapa watak dan episod dan ada masa dan ketika di mana kita hampiur berlenang air mata.

Isu pokoknya di sini, kenapa ia tidak mendapat tempat yang sewajarnya di hati masyarakat Melayu. Mesej yang mahu disampaikan oleh Jack Neo amat sesuai dan bertepatan dengan masalah dalam masuarakat moden. Dalam situasi di mana para ibu bapa semakin sibuk dengan kerja dan pencarian rezeki setiap hari, anak-anak yang dibiarkan kurang mendapat perhatian terlibat dalam pelbagai masalah sosial. Filem ini memang bertapak di dunia nyata.

Sebaliknya pula masyarakt Melayu terlalu terpaut dengan filem komedi dan filem hantu murahan yang tidak ada apa-apa unsur pengajaran yang mempu mendidik masyarakat melonjak ke aras yang lebih tinggi. Paling terkejut ialah apabila sebulan lalu saya mengikuti ceramah agama dikampung saya yang disampaikan oleh seorang penceramah yang agak terkenal yang kerap sangat memetik kata-kata “cecita” diikuti dengan gelak ketawa penonton. Saya tidak faham pada mulanya kenapa pendengar ketawa apabila penceramah berkenaan menyebut perkataan berkenaan serta lain-lain petikan yang agaknya semuanya dari petikan filem tertentu. Penceramah berkenaan seterusnya menyanyi (petikan) serta menghidangkan banyak jenaka yang diikuti dengan sambutan ketawa para pendengar hinggakan pada saya tenggelam mesej utama yang mahu disampaikan. Dia pada saya melepaskan peluang keemasan masa dan peluang untuk mendidik pendengar. Ia berjaya memberi ceramah yang baik namun lebih menghiburkan pendengar hari itu.

Apa pointnya ?  Apakah kita harus ikut minda masyarakat Melayu yang umumnya berfikiran cetek kerana hidangan filem-filem murahan atau kita khususnya penceramah mengambil peluang untuk mendidik masyarakat Melayu untuk belajar berfikir hal-hal yang lebih serius yang mencakupi survival bangsa, survival ummah ? Isunya ialah tahap pemikiran Melayu perlu dididik untuk membangunkan diri bukan leka dengan hiburan. Terlalu banyak hiburan masa kini. Cuba lihat peratusan program popular TV semuanya berasaskan hiburan. Radio pun sama. Dalam banyak stesyen radio (kerajaan dan swasta) hanya dua yang ada sumber pendidikan yang banyak iaitu Radio IKIM dan Radio BFM 89.9 (yang terhad siarannya ke Lembah Kelang). Lain-lain stesyen termasuk Radio Klasik (dulunya Radio Malaysia Nasional) hanya menyajikan menyanyi, menyanyi, menyanyi. Komponen untuk berfikir dan mendidik masyarakat terlalu sedikit.

Rumusannya selagi pautan kepada hiburan, lekatan kepada babak hantu, kegilaan kepada komedi menguasai masayarakat, kita akan semakin hanyut. Sudah sampai masanya fikiran kita lebih tertumpu kepada masa depan bangsa dan agama bukan hanya dalam konteks dimensi politiknya tetapi dalam segala segi — ekonomi, sosial dan budaya. Selagi kita malas berfikir dan mudah terpaut dengan watak-watak “juling” dan “jongang”, sibuk berlebihan dalam masalah “mentor dan protege”, kalut mahu memilih siapa yang akan menjuarai lawak itu, lagu itu dsb. saya bimbang kita lupa akan masalah besar yang melanda masyarakat kita. Ayuh, fikir-fikirlah.

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.