PPSMI: Berbalik Ke Asas

February 18, 2009 at 7:57 am | Posted in Isu-isu terkini, Lain-lain, Panduan untuk Ibubapa | 3 Comments

Rencana ini dihantar (e-mail) ke Akhbar Utusan/Mingguan Malaysia Jumaat lalu (13 Februari 2009). Setakat hari ini (Rabu, 18 Februari 09) belum keluar lagi. Sama ada ia akan keluar atau tidak dalam akhbar berkenaan, mari kita teliti isi kandungannya.

PPSMI – Berbalik Kepada Asas

Saya ingin turut sama menyumbang buah fikiran dalam soal Pembelajaran dan Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Untuk memastikan kita lebih faham akan isu ini yang di kebelakangan ini disuarakan oleh banyak cendikawan negara, elok kita berbalik ke soal asas pembelajaran dan pengajaran itu sendiri. 

Pelajar ke sekolah. Mereka belajar dalam kelas (atau makmal sains atau bengkel kerja tangan dsb.). Pendek kata pelajar belajar, guru mengajar. Itu asas utama pembelajaran. 

Hasil dari pengajaran guru, secara umumnya akan terdapat empat kelompok pelajar. 

Pertama, ada pelajar yang faham sepenuhnya pengajaran guru. Mereka inilah yang lazimnya muncul sebagai pelajar cemerlang dan memperolehi keputusan yang terbaik dalam setiap ujian bulanan, semester atau peperiksaan utama seperti UPSR, SMRA, PMR, SMA, SPM, STPM atau pun lain-lain peperiksaan sehingga di peringkat institusi pengajian tinggi. Mereka cemerlang sebab mereka faham sepenuhnya hampir kesemua subjek yang diajar oleh guru. Lantaran itulah pelajar cemerlang seperti Azali Azlan (SPM 2007, 21A) tidak memerlukan tuisyen kecuali kelas tambahan yang diuruskan oleh sekolah. Nadiah Amira (SPM 2006, 18A) dan Nor Amalina Che Bakri (SPM 2004, 17A1) hanya mengambil tuisyen bagi subjek Prinsip Akaun sahaja. Oleh kerana mereka faham sepenuhnya ajaran guru, maka mereka dapat menguasai sesuatu subjek dengan lebih baik. 

Kedua pula ialah kumpulan pelajar yang hanya memahami sebahagian daripada apa yang di ajar oleh guru. Mungkin dari sepuluh perkara yang dibentangkan mereka hanya boleh memahami enam atau tujuh perkara sahaja. Inilah kelompok pelajar sederhana. Sesetengah subjek difahami sepenuhnya manakala subjek lain pula difahami sebahagian sahaja. Atas sebab itulah keputusan peperiksaan mereka meliputi gred A, B dan C sebagai contoh. Mereka ini kita golongkan sebagai pelajar sederhana. 

Kelompok ketiga terdiri dari kalangan pelajar yang hanya dapat memahami sebahagian kecil sahaja dari apa yang diajarkan oleh guru kelas mereka. Inilah kelompok pelajar lemah. Rata-rata gred yang diperolehi ialah C dan D sahaja. Jarang sekali mereka mendapat B atau A. Mungkin bagi sesetengah subjek lain mereka gagal terus. 

Kemudian kita ada kelompok terbawah, yakni pelajar gagal kerana tidak memahami apa yang diajar oleh guru mereka. Mereka inilah yang lazimnya berada di kelas bekalang. Kerana tidak memahami apa yang diajar oleh guru, maka mereka ke sekolah “sekadar meramaikan majlis”. 

Apakah faktor yang menyebab mereka faham atau tidak faham pengajaran guru ? Banyak !. Di pihak pelajar, mereka tidak atau kurang faham kerana tidak memberi tumpuan dalam kelas, bermain-main semasa guru mengajar, tidak ada asas yang kukuh mempepalajari sesuatu tajuk yang diperkenalkan dan yang seumpamanya. Di sebelah pihak guru pula ia mungkin disebabkan oleh pengajaran yang kurang berkesan.

Namun ada satu lagi faktor kritikal yang menentukan kefahaman atau ketidakfahaman pelajar terhadap pengajaran guru. 

Ada kalanya pelajar telah memberi tumpuan 100% dalam kelas. Mereka tidak bermain-main semasa guru mengajar. Namun kerana bahasa yang digunakan oleh guru tidak difahami oleh pelajar, maka masih sukar bagi mereka untuk memahami apa yang diajar. Inilah di antara perkara utama yang menimbulkan masalah dalam PPSMI. 

Ia menjadi lebih ketara lagi sekiranya guru yang mengajar subjek berkenaan kurang dapat menguasai Bahasa Inggeris itu sendiri. Atau mungkin usaha guru untuk mengajar menggunakan dwi-bahasa kurang menjadi. 

Pada saya ibu kunci kejayaan akademik ialah FAHAM. Jika seseorang pelajar itu faham apa yang diajar oleh guru, maka peluangnya untuk skor sesuatu subjek amatlah baik. Jika tidak, maka peluangnya amat tipis sekali. 

Atas sebab itulah kita lihat sesetengah pelajar nampak seolah-olah tidak belajar bersungguh-sungguh berbanding dengan rakan sekelasnya serta menyertai pelbagai aktiviti ko-kurikulum sekolah dan memegang beberapa jawatan penting dalam persatuan dan kelab, namun menyerlah sebagai pelajar terbilang sekolah pada hari penganugerahan pelajar cemerlang. Rakannya pula berusaha dua kali ganda lebih kuat darinya, menghadiri kelas tuisyen dan melibatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum sekadar memenuhi syarat sekolah sahaja, namun tidak menampakkan kehebatan dalam pelajaran. 

Di mana silapnya ? Tidak ada silap di mana-mana melainkan pelajar cemerlang tadi cemerlang sebab dia memahami sepenuhnya ajaran guru, manakala rakannya tidak begitu. Sementara rakannya perlu mengambil sedikit masa untuk membuat ulangkaji dan kerja rumah, dia terpaksa bertungkus lumus berjam-jam lamanya untuk mendapat hasil yang sama. Jawapannya, seorang faham, dan seorang lagi kurang atau tidak faham. Justeru itu, ibu kunci kejayaan ialah FAHAM apa yang diajar oleh guru. 

Biar saya buat satu analogi untuk memantapkan lagi hujjah ini. Katakan subjek Matematik atau Sains diajar oleh seorang guru dari Timur Tengah dalam Bahasa Arab, atau oleh guru dari Manila dalam Bahasa Tagolog atau oleh seorang guru dari Pirenza (Florence) dalam Bahasa Itali. 

Kita sendiri yang masih meraba-raba dengan bahasa Arab atau Tagolog atau Itali mengikuti pengajaran guru berkenaan. Sehebat manapun guru tersebut, sudah pasti sukar sekali bagi kita memahami pengajaran guru berkenaan. 

Ia mungkin satu analogi yang agak keterlaluan, namun itulah unsur-unsur permasalahan yang dihadapi oleh pelajar yang sama ada tidak tahu langsung Bahasa Inggeris atau lemah bahasa berkenaan. 

Dalam keadaan serupa itulah, program tuisyen seperti yang dikendalikan oleh Kementerian Pelajaran (skim baucer tuisyen) atau FELDA (skim tuisyen Felda) atau lain-lain agensi kerajaan dan bukan-kerajaan kurang keberkesanannya kerana masalah asas, yakni tidak faham atau kurang faham ajaran guru kerana penggunaan bahasa tertentu wujud. 

Saya masih teringat perbualan saya dengan seorang guru dari Kota Belud, Sabah ketika dia mengajak pelajar membuat karangan dalam Bahasa Inggeris. Dia minta pelajar memberitahu apakah perkataan “pengenalan” dalam Bahasa Inggeris. Setiap karangan mesti dimulakan dengan “pengenalan”. Dia amat terkejut apabila seorang pelajar berkata (bukan tujuan berjenaka) “I.C.” Bagi pelajar berkenaan baeangkali kerana “Kad Pengenalan” itu lazimnya disebaut sebagai “I.C”, maka itulah agaknya logik yang dipakai. 

Itu sekadar satu dari banyak contoh serta ratusan “cerita jenaka” di mana guru-guru sekolah, khususnya di kawasan luar bandar hadapi dalam mengajar Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. 

Ini bermakna pelajar yang lemah dalam Bahasa Inggeris, lebih-lebih lagi diajar oleh guru yang belum sepenuhnya bersedia mengajar dalam Bahasa Inggeris subjek Sains dan Matematik menghadapi dua aras permasalahan. 

Pertama masalah mereka memahami pengajaran yang dibuat dalam bahasa yang mereka tidak selesa, dan keduanya memahami isi kandungan subjek Sains dan Matematik itu sendiri. 

Sama ada berasas atau tidak, sebelum ini kita sering dengar keluhan umum tentang kelemahan pelajar Bumiputera dalam kedua-dua subjek berkenaan. Dengan memeprkenalkan PPSMI, kita bukan sahaja gagal menangani masalah ini, malah memburukkan lagi keadaan. 

Saya amat bersetuju sekali kita meneliti semula dengan serius PPSMI kerana salah satu sebab utama diperkenalkan PPSMI ialah untuk mengukuhkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar di negara kita ini. Itu satu matlamat murni yang tidak perlu dipertikaikan, cuma apakah pendekatannya menerusi PPSMI. Mengapa tidak memperkasakan perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri seperti yang sering diwar-warkan oleh ramai orang. 

Malah andaian penggunaan Bahasa Inggeris untuk memajukan negara juga ada hujah balasnya. Banyak negara di dunia yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris sebagai bahasa utama berjaya. Lihat Thailand sendiri kerana kemajuan sains dan teknologinya juga hebat sebenarnya. Negara Jepun, Jerman dan sekarang kemunculan gergasi ekonomi baru China. Pengalaman saya ke Itali tahun lalu cukup relevan. Rata-rata sama ada di TV, papan tanda jalan serta perbualan umum hampir 95% dalam bahasa Itali. Namun ia maju. Banyak jenama Itali menjadi buruan dunia. Tiada Bahasa Inggeris.

 

Cuma saya harap kita jangan ambil terlalu lama untuk meneliti semula dasar PPSMI. Sememangnya banyak pihak berhujjah bahawa kita jangan terburu-buru mengubah sesuatu dasar. Itu boleh kita fahami. Cuma yang menjadi persoalan kenapa dasar yang sama semasa diperkenalkan dulu tidak diteliti dengan mendalam. Tiba-tiba ia diperkenalkan tanpa apa-apa kajian dan tanpa apa-apa persediaan !

Advertisements

Kursus Membaca, Melancar dan Menghafaz Al Qur’an Bersama Dr. Haji Mohd Shafie Haji Mohd Amin

August 25, 2008 at 2:26 pm | Posted in Foto Seminar, Panduan untuk Guru, Panduan untuk Ibubapa | Leave a comment
Tags:

23 Ogos 2008

ABSB telah menganjurkan kursus di atas selama sehari (8 pagi – 5.30 petang) yang dihadiri oleh 70 orang peserta (dari pelajar sekolah rendah hinggalah kepada orang dewasa). Ia diadakan di Oditorium Perkeso, Seberang Jaya, Seberang Prai. Kursus berkenaan dikendalikan oleh seorang al-hafiz juga seorang akauntan bertauliah (ACCA), iaitu Dr. Haji Mohd Shafie bin Haji Md Amin dari Al Huffaz Consulting Sdn. Bhd. (www.al-huffaz.com.my

Dr. Haji Mohd Shafie bersama Dr. Shukri Abdullah. Dr. Shukri turut mengambil peluang menyampaikan satu jam ceramah pada permulaan sesi yang menyentuh mengenai cabaran keibubapaan masa ini di atas tajuk “Rumah Tanpa Pagar: Menangani Cabaran Keibubapaan Masakini”.

Sebahagian daripada peserta yang mengikuti Kursus berkenaan.

Di antara cetusan pemikiran yang boleh dikongsi dari Kursus di atas ialah:

1. Hafazan Al Qur’an tidak terbatas hanya kepada kanak-kanak atau pelajar peringkat persekolahan. Ia boleh dilakukan oleh sesiapa sahaja asalkan kita memiliki persediaan mental yang betul, menggunakan kaedah yang berkesan serta usaha yang berterusan (istiqamah).

2. Allah tidak melihat hasil hafazan kita. Dia melihat usaha yang kita pamerkan. Ia berbeza dengan manusia yang cenderung bertanya: “Berapa juzuk sudah engkau hafaz ?” dan soalan-soalan yang seumpamanya. Justeru itu selagi seseorang itu terus berusaha dan berusaha menghafaz Al Qur’an, ia akan mendapat ganjaran dari Allah walaupun mengambil masa yang lama untuk menghafaz Al Qu’ran.

3. Orang dewasa menghafaz Al Qu’ran itu MUSTAHIL … IMPOSSIBLE ! Kalau kita buat apa yang Allah suka, ingat dengan bantuan Allah tidak ada apa yang mustahil. Kalam MUSTAHIL itu hanyalah pada logika manusia, bukan pada pandangan Allah. Dengan izin dan pertolongan Allah, tidak ada apa yang mustahil di dunia ini.

4. The best teacher is Allah, so to get the most, be close to Allah.  Allah is also the most intelligent, so to be intelligent (in academic for instance), be close dan ask for assistance from Allah (but must be preceeded by working hard first !)

5. Kaedah Al-Huffaz yang diperkenalkan oleh Dr. Mohd Shafie menekankan kepentingan mengulang-ulang ayat yang mahu dihafal di antara 60 ke 200 kali sehingga ia tertanam di subconscious mind kita. Buku untuk memudahkan aktiviti hafalan juga dibekalkan. Ia berpandukan kepada kefahaman konsep Short-term and Long-term memory.

6. Dalam aktiviti hafalan, ibubapa selalau menanya anak mereka “Sudah berapa juzuk engkau hafal?”. Sebenarnya soalan yang lebih relevan ialah, “Berapa juzuk yang kamu masih ingat?”. Ramai orang menghafal Qur’an tetapi ramai juga yang lupa selepas itu. Kaedah Dr. Mohd Shafie berusaha untuk menangani masalah berkenaan.

Sibuk, Sibuk, Sibuk

July 22, 2008 at 10:24 am | Posted in Panduan untuk Guru, Panduan untuk Ibubapa | 2 Comments

RENUNGAN UNTUK IBUBAPA

 

MENCARI DAN MEMBERI MASA UNTUK ANAK

Petikan Dari Buku “Sentuhan Ibubapa”

Ameen Publication

 

 

SEMUA ORANG SIBUK

 

Semua orang sibuk. Saya, penulis buku ini pun sibuk. Dulu sewaktu saya bertugas sebagai Profesor Madya, Timbalan Dekan, Penggawa (ketua kolej kediaman pelajar) serta Pengerusi pelbagai jawatankuasa akademik di Universiti Sains Malaysia cukup terasa kehimpitan masa. Sukar untuk saya luangkan masa untuk keluarga. Ada sajalah tugas yang perlu diselesaikan, projek yang perlu dibereskan dan mesyuarat yang perlu dipengerusikan. Itu tidak termasuk tugas-tugas pengajaran, penyelidikan serta perjumpaan dan diskusi dengan pelajar kuliah saya.

Saya fikir apabila saya meninggalkan USM dan bekerja sepenuhnya masa sebagai penceramah profesional di mana saya bebas mengagihkan masa untuk kerja dan keluarga, maka saya kurang sibuk.

Rupanya saya silap. Kesibukan sebenarnya bukan bergantung kepada jenis kerja atau pangkat seseorang, walaupun kedua-dua faktor tersebut turut mempengaruhinya. Ia banyak bergantung kepada kebijaksanaan (atau sebaliknya) seseorang merundingkan prioriti-prioritinya dalam aktiviti harian.  Persoalan ini akan dibicarakan dengan lebih lanjut lagi di bab 13 buku nanti.

Bagi anda yang merasakan bahawa kesibukan anda sukar untuk leraikan dan ditangani dengan berkesan dalam situasi kerja sekarang, justeru hampir putus asa untuk berbuat apa-apa, sila renung dan fikirkan senario di bawah.

  Continue Reading Sibuk, Sibuk, Sibuk…

Create a free website or blog at WordPress.com.
Entries and comments feeds.